Tuesday, February 21, 2023

KENAPA ADA HIJIR ISMAIL DAN KENAPA PINTU KAABAH TINGGI?

Disebutkan dalam Saheh Muslim, hadis dari Aisyah r.a bahawa dia bertanya kepada nabi SAW tentang dua masalah di atas. Llau dijawab nabi SAW:



(سَأَلْتُ رَسولَ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ- عَنِ الجَدْرِ أَمِنَ البَيْتِ هُوَ؟ قالَ: نَعَمْ، قُلتُ: فَلِمَ لَمْ يُدْخِلُوهُ في البَيْتِ؟ قالَ: إنَّ قَوْمَكِ قَصَّرَتْ بهِمِ النَّفَقَةُ، قُلتُ: فَما شَأْنُ بَابِهِ مُرْتَفِعًا؟ قالَ: فَعَلَ ذَلِكِ قَوْمُكِ لِيُدْخِلُوا مَن شَاؤُوا، وَيَمْنَعُوا مَن شَاؤُوا، وَلَوْلَا أنَّ قَوْمَكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ في الجَاهِلِيَّةِ، فأخَافُ أَنْ تُنْكِرَ قُلُوبُهُمْ، لَنَظَرْتُ أَنْ أُدْخِلَ الجَدْرَ في البَيْتِ، وَأَنْ أُلْزِقَ بَابَهُ بالأرْضِ)

Qilal Hajar

Perkataan Qilal Hajar merujuk kepada tempayan yang berasal dari Hajar, satu kampung berhampiran Madinah. Ada juga tempat bernama Hajar di Bahrain. tetapi yang dimaksudkan dalam sandaran kata tempayan hajar ini adalah Hajar kampung berdekatan Madinah. Pada asalnya tempayan asal itu asal dari Hajar. Namun, kemudiannya ia dibuat di kota Madinah. Tetapi kekal namanya tempayan Hajar.

Nabi SAW membuat bandingan buah pohon Sidratul Muntaha dengan Qilal Hajar. Sabda Nabi SAW dalam hadis Saheh Bukhari:

وَرُفِعَتْ لِي سِدْرَةُ المُنْتَهَى، فَإِذَا نَبِقُهَا كَأَنَّهُ قِلاَلُ هَجَرَ


Disebutkan juga kadar dua kolah dengan Qilal Hajar sebagaimana sabda nabi SAW. Disebutkan dalam Ma'alim As-Sunnan oleh Al-Khittabi dengan sanad secara Mersal kepada Ibn Juraij, sabda Rasulullah SAW:

إذا كان الماء قلتين بقلال هجر

Qilal Hajar adalah ukuran standard yang tidak berubah-ubah sebagaimana ukuran So' (cupak) dan Mikyal yang dipakai. Itulah sebabnya kenapa nabi membanding 2 kolah dengan Qilal Hajar. Demikian kata Al-Khitabi.

Rujuk: Shamela

Sunday, February 12, 2023

Berbuka dengan sengaja untuk jimak di siang hari Ramadhan.

 Sesiapa yang berjimak di siang hari ramadhan, maka atasnya kifarat. Kifaratnya ialah:

3 perkara mengikut tertib( bukan pilihan)

a) Merdekakan seornag hamba perempuan yang beriman

b) Puasa 2 bulan berturut-turut

c) Beri makan kepada 60 orang miskin.

Sekiranya seseorang itu berbuka dulu dengan tujuan berjimak, maka perbuatannya berbuka itu tidak menghalalkannya berjimak. Dengan kata lain, walaupun dia berbuka puasa lalu berjimak di siang Ramadhan, dia tetap perlu membayar kifarat. Ini berdasarkan kaedah feqah:


من استعجل الشيء قبل أوانه عوقب بحرمانه
" Sesiapa yang menyegerakan untuk sesuatu sebelum masanya, maka dia dihukum dengan terhalang untuk mendapat sesuatu itu".

Kaedah Usul Feqah di atas dipakai untuk masalah tersebut menurut Mazhab Hanafi dan Maliki. Jika berbuka dengan sengaja lalu berjimak, wajiblah kifarat. Namun, TIDAK bagi Mazhab Syafie ,Hambali dan Zahiri. Jika berbuka dahulu sebelum jimak, maka Tidak wajib kifarat.

Maka masalah feqah ini dikecualikan daripada Kaedah tersebut menurut Mazhab Syafie, Hambali dan Zohiri.

Saturday, February 11, 2023

ما هو أللف والنشر؟

 Video ini berkaitan satu bentuk keindahan bahasa Al-Quran yang dinamakan Al-Laffu wan Nasyar. Saya terdorong untuk mengetahui mengenainya berikutan membaca Tafsir Ibn Kathir ketika ditafsirkan ayat 24 Surah Saba'. Ibn Kathir menyebutkan bahawa ada unsur Al-laffu wan nasyar dalam ayat tersebut.

Ayatnya berbunyi:


وَإِنَّا أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ 


 Untuk mengetahui lebih lanjut, saya cadangkan agar ditonton video ini.


Friday, February 10, 2023

Hibah atau jual beli?

 Jika seseorang berkata kepada seseorang yang lain:

"Aku berikan baju ini kepadamu dengan harga RM25".

Maka akad yang sedemikian mahu dianggap hibah (pemberian) atau jual beli?


Penyelesaian kepada persoalan di atas tertakluk kepada satu kaedah Usul Feqah iaitu:


العبرة في العقود بالمقاصد والمعاني لا بالألفاظ والمباني



"Perkiraan dalam akad adalah apa yang dimaksudkan dan makna ucapan akad, bukan Lafaz dan susunan ucapan".

Kaedah ini adalah terbitan daripada Kaedah Umum dalam Usul Feqah iaitu:


الأمور بمقاصدها


Mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan bahawa lafaz dan susunan kata tidak perlu dilihat dalam aqad. Apa yang perlu dilihat adalah maksud atau makna daripada lafaz aqad itu. Maka dalam hal ini, kaedah usul feqah di atas digunakan. Justeru, walaupun lafaz yang digunakan adalah "beri (hibah)" tetapi maksudnya adalah jual. Maksud tersebut dapat dipastikan dengan penyertaan lafaz "dengan harga RM25".

Pandangan yang sama juga dalam mazhab Syafie.

Sementara dalam mazhab Hambali, ada tiga pandangan:
a) Akad tersebut adalah jual beli berdasarkan makna akad itu.
b) Akad tersebut adalah akad hibah yang sah kerana hibah boleh sahaja dengan tukaran seperti sahnya ada tukaran dalam akad pinjam (ariah).
c) Akad tersebut fasad (rosak)

Maka, kaedah di atas menetapkan bahawa bila sesuatu akad diucapkan dan ada kekeliruan tentang lafaz yang digunakan, maka makna dan maksud si pengucap itu diambil kira. Jangan bergantung kepada lafaz atau terma yang digunakan.

Walaubagaimanapun, kaedah di atas ada pengecualian.

Kalau seseorang mengatakan:

" Aku jual kasut ini kepadamu TANPA SEBARANG HARGA".

Bagaimana hendak menilai akad yang diucapkan ini? Jual atau hibah? Lafaz sebut jual tetapi maknanya macam HIBAH. Kalau jual mesti ada harganya. Harga adalah rukun kepada aqad jual beli. Tiada harga tak dinamakan Jual beli! Demikian juga ia tidak boleh dinamakan sewaan (ijarah) kerana kalau sewaan,perlu ada harga sewaan.

Bagimana?

Di sisi Mazhab Hanafi, aqad sebegini adalah BATAL. Ia  TIDAK BOLEH dianggap aqad HIBAH.

Di sisi Mazhab Syafie dan Hambali akad yang sedemikian memang tidak boleh dinamakan jual beli maupun sewaan. Untuk mengatakan ianya adalah HIBAH, maka ada dua qaul kerana wujudnya pertentangan lafaz dan makna iaitu: Ianya Hibah dan BUKAN HIBAH.











Tuesday, February 7, 2023

ADAKAH HANYA AKAD NIKAH DENGAN ANAK, MAKA IBUNYA JADI MUHRAM?

 Allah SWT  berfirman:



وَأُمَّهَاتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ 
[سورة النساء: آية 23‏]

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa apabila seorang lelaki membuat akad nikah dengan seorang perempuan janda yang ada anak perempuan dan kemudian berlaku dukhul dengan perempuan janda itu, maka anak perempuan janda itu haramlah untuk lelaki itu. Jika tidak berlaku dukhul dengan ibunya, maka anak perempuan janda itu masih dihalalkan untuk dinikahi setelah diceraikan ibunya.


Sebaliknya, jika seorang lelaki mengakad nikah dengan seorang perempuan, walau tidak berlaku dukhul, maka ibu perempuan itu menjadi haram atas lelaki yang menikahi anak perempuannya.

Contoh masalah:

A. Bila Ahmad membuat akad nikah dengan Fatimah sedangkan Ahmad itu ada anak lelaki, atau ada bapa maupun datuk, maka hanya dengan akad itu jadilah anak lelaki , bapa serta datuk Ahmad mahram kepada isteri Ahmad.
B. Demikian pula Ibu/nenek kepada Fatimah, jadi mahram pula kepada Ahmad.
C. Maka, anak lelaki Amad, bapa/datuk Ahmad dan ibu/nenek Fatimah (ketiga-tiga golongan ini) jadi mahram hanya disebabkan akad.
D. Anak perempuan Fatimah, tidak menjadi Mahram melainkan setelah Fatimah dijimak oleh Ahmad.
E. Jikalau sendainya AHMAD mentalakkan Fatimah selepas akad dan sebelum jimak, lalu kemudiannya Fatimah menikah dengan orang lain dan adapat anak perempuan, maka anak perempuan Fatimah itu halal dinikahi oleh Ahmad.
F. Adapun ibu kepada Fatimah yang yang ditalak sebelum jimak, maka dia tidak halal buat Ahmad selama-lamanya.
G. Pertanyaan: Jika Ahmad mentalakkan Fatimah sebelum jimak, sedangkan Fatimah ada anak perempuan dengan suami terdahulu dan ada ibu, maka siapakah yang halal untuk Ahmad dan siapa pula yang haram?

Maka Jawapannya:
Þ Ibu Fatimah haram utk Ahmad nikahi.
Þ Anak perempuan Fatimah halal untuk Ahmad nikahi.
 
H. Untuk Fatimah pula, jika Ahmad ada anak lelaki atau ayah, maka kedua-dua mereka adalah haram untuk Fatimah nikahi selama-lamanya.