Jika seseorang berkata kepada seseorang yang lain:
"Aku berikan baju ini kepadamu dengan harga RM25".
Maka akad yang sedemikian mahu dianggap hibah (pemberian) atau jual beli?
Penyelesaian kepada persoalan di atas tertakluk kepada satu kaedah Usul Feqah iaitu:
العبرة في العقود بالمقاصد والمعاني لا بالألفاظ والمباني
"Perkiraan dalam akad adalah apa yang dimaksudkan dan makna ucapan akad, bukan Lafaz dan susunan ucapan".
الأمور بمقاصدها
Mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan bahawa lafaz dan susunan kata tidak perlu dilihat dalam aqad. Apa yang perlu dilihat adalah maksud atau makna daripada lafaz aqad itu. Maka dalam hal ini, kaedah usul feqah di atas digunakan. Justeru, walaupun lafaz yang digunakan adalah "beri (hibah)" tetapi maksudnya adalah jual. Maksud tersebut dapat dipastikan dengan penyertaan lafaz "dengan harga RM25".
Pandangan yang sama juga dalam mazhab Syafie.
Sementara dalam mazhab Hambali, ada tiga pandangan:
a) Akad tersebut adalah jual beli berdasarkan makna akad itu.
b) Akad tersebut adalah akad hibah yang sah kerana hibah boleh sahaja dengan tukaran seperti sahnya ada tukaran dalam akad pinjam (ariah).
c) Akad tersebut fasad (rosak)
Maka, kaedah di atas menetapkan bahawa bila sesuatu akad diucapkan dan ada kekeliruan tentang lafaz yang digunakan, maka makna dan maksud si pengucap itu diambil kira. Jangan bergantung kepada lafaz atau terma yang digunakan.
Walaubagaimanapun, kaedah di atas ada pengecualian.
Kalau seseorang mengatakan:
" Aku jual kasut ini kepadamu TANPA SEBARANG HARGA".
Bagaimana hendak menilai akad yang diucapkan ini? Jual atau hibah? Lafaz sebut jual tetapi maknanya macam HIBAH. Kalau jual mesti ada harganya. Harga adalah rukun kepada aqad jual beli. Tiada harga tak dinamakan Jual beli! Demikian juga ia tidak boleh dinamakan sewaan (ijarah) kerana kalau sewaan,perlu ada harga sewaan.
Bagimana?
Di sisi Mazhab Hanafi, aqad sebegini adalah BATAL. Ia TIDAK BOLEH dianggap aqad HIBAH.
Di sisi Mazhab Syafie dan Hambali akad yang sedemikian memang tidak boleh dinamakan jual beli maupun sewaan. Untuk mengatakan ianya adalah HIBAH, maka ada dua qaul kerana wujudnya pertentangan lafaz dan makna iaitu: Ianya Hibah dan BUKAN HIBAH.
No comments:
Post a Comment